Skip to main content

SURAT TERBUKA UNTUK PROF. DR. ABDUL AZIZ BARI

Oleh : lelaki Ini

Berdasarkan laporan web portal The Malaysian Insider pada 30.12.11, Prof. bersetuju menawarkan diri sebagai calon Pakatan Rakyat. Menarik perhatian saya untuk berkongsi pandangan berhubung perkembangan ini.

1. Suara Prof. perlu tunduk pada polisi Parti

Hari ini, Prof. tidak menganggotai mana-mana parti politik. Prof. bebas untuk mengeluarkan pendapat berdasarkan ilmu, pengalaman dan pemerhatian Prof. Prof. bebas untuk mengkritik kekurangan dan kelemahan sistem politik pada sesebuah parti mahupun sesebuah kerajaan. Prof. pernah mengkritik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin tertinggi parti politik lain.

Apabila Prof. menyertai sesebuah parti, Prof. akan terikat dengan polisi, perlembagaan dan adab dalam pasukan. Kritikan dan teguran Prof. pada parti sendiri atau parti sekutu ada salurannya, ada adabnya, ada peraturannya, dan yang paling penting, ada hadnya. Ada yang boleh dikritik, ada yang tidak boleh disentuh.

Tidakkah Pakatan Rakyat menjamin kebebasan bersuara? Jika Ya sekalipun, hendaklah mengikut prosedur dan saluran parti, yang tidak menjejaskan imej parti, yang tidak menghadiahkan peluru percuma buat musuh. Itu harga yang Prof. perlu bayar. Ilmu dan pengalaman Prof. akan terikat dengan polisi dan survival parti.

Inilah pasukan perang bernama parti politik. Perlu strategi dan sentiasa bermusuh.

2. Label Parti Politik akan menjejaskan sumbangan Prof. kepada masyarakat

Pemikiran masyarakat kita masih belum bertaraf profesional. Masih kuat menganuti budaya sentimen. Seperti mana Datuk Ismail Kamus atau Datuk Harun Din dilarang memasuki sesetengah masjid hanya untuk mengendalikan kursus pengurusan jenazah, begitu jugalah Datuk Jamil Khir atau Ustaz Kazim Elias dilarang memasuki sesetengah masjid hanya untuk menyampaikan tazkirah mengenai puasa. Malah di sesetengah masjid, masih terdapat dua imam solat pada satu-satu masa. Masyarakat kita masih ‘allergic’ pada cop parti politik.

Di antara pendedahan yang dibuat Persatuan Pengguna Pulau Pinang ( CAP ) dengan pendedahan yang dibuat DAP berhubung produk makanan yang terdapat di pasaran. Pendedahan yang mana satu yang bakal berhadapan dengan kesukaran untuk sampai ke pengetahuan rakyat? Malah apabila sampai ke pengetahuan rakyat sekalipun, lihatlah akan perbezaan penerimaan rakyat di antara kedua-dua pendedahan ini. Kita boleh bayangkan reaksi mereka jika ia bersumberkan kajian DAP. Sentimen masih mengatasi rasional dan fakta.

Maka apakah matlamat kajian dan pendedahan demi kepentingan rakyat terbanyak akan tercapai? Umumnya bagaimana intelek rakyat hendak dibangunkan jika maklumat ditolak mentah-mentah kerana sentimen? ( Alangkah lebih cerdik jika kajian DAP tersebut disalurkan kepada sebuah proksi tidak berparti untuk didedahkan kepada umum demi kepentingan dan kesihatan rakyat. Mungkin reaksi rakyat akan berbeza ).

Inilah realiti. Inilah bentuk pemikiran masyarakat kita. Masih kuno dan primitif. Sentimen dan emosi masih mengatasi rasional dan fakta. Sehingga ada pihak yang memboikot terus akhbar-akhbar milik parti lawan. Sedangkan jika diboikot, bagaimana ingin mengetahui fitnah dan tuduhan yang dilemparkan untuk dibalas? Bagaimana ingin mengetahui status berita dan maklumat yang disampaikan kepada rakyat, sama ada terdapat penyelewengan mahupun agenda tersembunyi? Sedangkan rakyat perlu disedarkan.

Sebagai seorang pendidik yang berdedikasi, saya percaya Prof. komited berpegang pada prinsip bahawa ilmu dan pengalaman Prof. bukan milik sesetengah pihak sahaja. Sumbangan Prof. tidak rigid hanya untuk Pakatan Rakyat. Ribuan mahasiswa dan jutaan masyarakat masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar Prof. atas pentas akademik.

Puluhan parti politik dan NGO masih perlukan pandangan dan teguran Prof. tanpa sebarang sekatan dan ‘adab’ parti. Kritikan dan pandangan yang tidak terikat dengan mana-mana polisi parti, tanpa sebarang kepentingan dan pertimbangan politik mana-mana pihak. Asal ia baik untuk rakyat, Prof. akan bersuara dan bertindak sewajarnya. Itulah yang rakyat dambakan.

Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin juga pernah bekerja dalam kerajaan sebagai seorang mufti. Pernah diberi ruangan setiap Ahad dalam Mingguan Malaysia milik UMNO untuk bersuara. Di situlah beliau mengkritik dan menegur pelbagai pihak termasuk UMNO. Akhirnya disingkirkan. Pakatan Rakyat melamar. Tapi beliau tetap teguh dengan prinsip sebagai penyumbang dan rujukan masyarakat tanpa perlu menyertai mana-mana parti politik. Muktamar PAS dijemput. Perhimpunan agung UMNO pun dijemput. Bebas bersuara dan menyumbang.

Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, seorang ulama’ muda. Pakar fiqh, pakar muamalat, pakar ekonomi. Sahabat seperjuangan saya di medan kampus suatu masa dulu. Fikrahnya diketahui umum. Hari ini menjadi rujukan masyarakat pelbagai lapisan. Dari golongan korporat hingga ke golongan pelajar. Dari golongan veteran hingga golongan muda. Dari UMNO hingga ke PAS. Karektor profesional ditunjukkan tanpa perlu menyertai mana-mana parti politik. Terus bebas bersuara dan menyumbang.

3. ‘Third Force’ perlu diperkasakan

Saya faham hasrat Prof. untuk melihat sistem dua parti diraikan dalam negara kita. Jujurnya, saya yakin dengan kebolehan dan pengalaman Pakatan Rakyat. Ikon sehebat Prof. tidak perlu menganggotai parti politik untuk merubah. Prof. boleh menjana perubahan dari luar.

Prof., rakyat dan Malaysia perlukan perubahan. Track record kerajaan BN telah dimaklumi semua. Tiada sebarang harapan selayaknya diletakkan di bahu mereka lagi. Saya melihat ramai pemimpin Pakatan Rakyat yang berkebolehan dan berpengalaman. Kebanyakan mereka bermula dari bawah. Bergelumang dengan akar umbi. Mengharungi badai dari dalam dan luar parti. Mereka telah diuji dengan penjara, kehinaan, penyeksaan, kesusahan, kemiskinan, kehilangan dan kesengsaraan sejak berikrar bersama perjuangan rakyat. Itu memang tanggungjawab dan peranan Pakatan Rakyat.

Dan harus diingat, bukan Pakatan sahaja yang perlu memain peranan. Reformasi ini juga perlu sumbangan Kuasa Ketiga ( Third Force ). Golongan yang tidak berparti, tapi berjuang untuk rakyat. Demi membentuk sebuah negara yang adil, berkebajikan dan selamat. Aktivis, badan bukan kerajaan, para pengamal undang-undang, agamawan, mahasiswa, penulis, bloggers dan lain-lain. Tiada kepentingan politik. Menyokong dan membela hak rakyat. Bebas bersuara tanpa perlu mempertimbangkan survival parti dan bola tanggung musuh.

Saya dengan rendah diri berpendapat, di sinilah posisi Prof. yang sewajarnya. Sebagai pendidik pembangun intelek anak bangsa. Juga sebagai penjana Kuasa Ketiga dalam memastikan negara diurus dan dipandu dengan baik.

Penutup

Kita memiliki ramai pemimpin politik berwibawa, berintegriti dan telah lulus banyak ujian dalam perjuangan. Namun kita kurang memiliki cendiakawan dan ahli akademik yang berani, lantang dan amanah dengan ilmu. Ramai yang hanya sibuk dengan tugas masing-masing, langsung tidak mengambilkira soal rakyat dan negara. Segelintir pula takut terjejas periuk nasi. Selebihnya menjadi pengampu bergaji BN.

Saya bercadang supaya IPT-IPT di negeri-negeri Pakatan Rakyat menyediakan tempat yang sewajarnya buat Prof. demi memastikan proses pendidikan rakyat berterusan dan tidak berhenti hanya kerana Prof. keluar dari UIAM dan menyertai parti politik.

Sedih bila mengenangkan ribuan mahasiswa UIAM yang kehilangan bimbingan dan tunjuk ajar Prof. Lebih malang, jika rakyat juga bakal kehilangan sumbangan Prof. sekiranya Prof. menyertai parti politik. Amat sayang jika sumbangan Prof. hanya terlingkung dalam Pakatan Rakyat. Hanya untuk Pakatan Rakyat. Biarlah Prof. kekal sebagai ikon pendidik di kalangan masyarakat. Pendidik yang berani dan amanah dengan ilmu. Tanpa sebarang label parti politik.

Prof., teruskanlah bertugas sebagai pendidik generasi pelapis negara. Saya percaya, apabila sampai masa Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, mungkin mereka akan menawarkan Prof. tugas dalam bidang perundangan negara, meminda dan memperbaiki segala undang-undang lapuk dan zalim yang telah menjerut leher rakyat selama ini, tanpa perlu Prof. terjun ke bidang politik.

Saya percaya Pakatan Rakyat secara profesional akan menawarkan kepada Prof. walaupun Prof. bukan anggota mana-mana parti dalam pakatan mereka. Mereka melihat kelayakan dan kebolehan, bukan kroni atau kepentingan peribadi. Inilah janji dan komitmen Pakatan Rakyat. Jangan risau, jika profesionalisme dan ketelusan ini tidak berlaku, malah janji-janji dimungkiri, kita bersama bangkit tumbangkan Pakatan Rakyat. Pemimpin perlu tunduk kepada tuntutan dan kehendak rakyat.

Hakikatnya, BN telah menang di pusingan pertama apabila berjaya ‘menyingkirkan’ Prof. dari UIAM. BN akan menang di pusingan kedua apabila Prof. menyertai Pakatan Rakyat. Sekaligus Prof. bukan sahaja kehilangan peluang mendidik dan membentuk ribuan mahasiswa pelapis negara yang masih mendambakan khidmat Prof., malah kehilangan suara apabila terikat dengan polisi parti nanti.

Ketika itu kita akan tertunggu-tunggu ahli akademik atau pakar undang-undang yang berani menegur sistem kerajaan, institusi diraja, parti-parti politik, sistem masyarakat dan sebagainya, secara bebas dan profesional tanpa bias, tanpa label parti politik.

Demikian pandangan saya berhubung pendirian terbaru Prof. Moga Prof. dapat mempertimbangkan sewajarnya dan membuat keputusan dengan tepat. Demi sebuah Malaysia Baru.

lelaki_ini@adukataruna.blogspot.com
01.01.2012
9:00 pm

Comments

Post a Comment

Komen berbentuk fitnah, ugutan dan ancaman akan dipadam. Segala tulisan komen adalah tanggungjawab pemberi komen. Blog ini tidak bertanggungjawab keatas komen-komen diruangan ini.

Popular posts from this blog

Permohonan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

Oleh : AdukaTaruna Assalamualaikum kepada muslimin Malaysia dan salam sejahtera kepada bukan muslim Malaysia. Setelah dinasihatkan rakan, dan kemudiannya di atas kesedaran diri sendiri, dengan rendah dirinya, saya (gua) memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia umumnya dan seluruh rakyat Johor khasnya di atas keterlanjuran saya berkenaan dengan artikel di luar norma kemanusiaan ini. Dah mampos buat cara mampos la. Walaupun saya tetap akan memegang idealogi saya, tetapi perbuatan benar tetap benar, dan perbuatan salah tetap salah. Saya mengakui akan kerosakan yang berlaku ke atas kumpulan PAS Reform, masyarakat dan diri sendiri akibat perbuatan tidak bertanggungjawab yang telah saya lakukan. Walaupun berbeza idealogi politik, saya ucapkan terima kasih kepada blogger UMNO kerana membantah dan menekan keterlanjuran saya. Kemudiannya saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah menegur dan menasihati saya. Apa yang sangat dikesalkan ialah kealpaan saya bahawa sa...

Betul ke Islam yang kau anut?

Betul ke versi Islam yang kau anut sekarang ni? KALAU KAU NAK VERSI PENUH BERVIDEO, KLIK SINI: https://youtu.be/KmJOEreKp6o Sekarang abam nak bagi anti thesis kepada thesis yang dah establish sekarang ini. Bila ada yang kemukakan hujah balas, akan ada spark ilmu yang dapat dikutip dan dinilai. Islam sekarang ni banyak versi. Nak2 pula versi politik parti. Kecilkan lagi skop, Dulu UMNO kafir, kekalkan perlembagaan kafir adalah kafir, tak boleh bayar zakat pada ulul amri yang tak laksanakan hudud. Macam2. Naratif dan kebentukan agama itu bergerak ikut survival parti politik. Kita ambil skop besar. Begitu juga kumpulan Islam selepas Muawiyah-Aishah memerangi ulul amri Ali as. Kumpulan2 berkembang dan terus berperang merebut kaabah. Dapat kaabah, dapatlah pengaruh agama. Dalam proses peperangan, pergaduhan merebut pengaruh itu, kau bayangkan berapa banyak hadis, naratif, kata2 mutiara, kitab2, fatwa2, pandangan2 telah dicipta. Untuk dapatkan pengaruh. Sama macam abam cakap dalam sk...

Pendapat dari seorang tentera.

Oleh : Askar Setia Salam Saudara Aduka Teruna. Saya terkedu melihat paparan yang dibuat oleh saudara menerusi posting di dalam blog saudara yang menyentuh maruah ATM. Tidak dinafikan isu-isu sebegini akan mendapat perhatian ramai, namun sekiranya saudara menilainya secara positif, tentu saudara akan merasakan ia merupakan sebahagian daripada latihan mental yang perlu dilalui oleh rekrut-rekrut tentera. Namun, ketahuilah bahawa, tidak semua anggota ATM dipaksa berbuat sedemikian dan saya pasti insiden berkenaan boleh dikatakan amat terpencil dan ia tidak berlaku dimana-mana latihan rekrut yang lain. Justeru, amatlah tidak wajar sekiranya bloggers mempersenda ATM sedemikian rupa. Saya juga kesal tindakan individu yang mempersenda maruah anggota tentera dengan mengambil gambar berkenaan dan menyebarkannya di internet. Ketahuilah bahawa ia telah menjatuhkan maruah ribuan anggota ATM yang lain. Lumrah blogging dan facebooking, ramai pihak akan menyebarkan gambar berkenaan untuk tu...