Sahabat

Iklan




Tabung Guaman





3. Maybank 155014038030 (Khairul Nizam Bin Abd Ghani)

Jan 3, 2011

Pertemuan UG di Istana Terengganu.

Sumber : MalaysianInsider

KUALA LUMPUR, 3 Jan — Pemimpin-pemimpin PAS didakwa berhadapan dengan satu lagi ‘perbalahan’ ekoran khabar angin bahawa kepimpinan tertinggi parti itu mengadakan pertemuan dengan rakan mereka dari Umno di ibu negara baru-baru ini. Khabar angin ini muncul ini hanya tinggal enam bulan sebelum PAS dijadual mengadakan pemilihan dwitahunan Jun ini. Malah dakwaan ini mengulangi ‘krisis’ yang pernah disaksikan sebelum ini.

Pertemuan majlis makan malam itu dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kedua-dua Najib dan Muhyiddin berulang kali pernah melahirkan hasrat dan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengan Nik Aziz dan pemimpin-pemimpin kanan PAS tahun lalu.

Masih belum pasti sama ada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau timbalannya Nasharudin Mat Isa, yang sebelum ini didakwa memihak atau cenderung kepada kerjasama Umno untuk membentuk kerajaan perpaduan, hadir bersama.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Wan Yussof ketika dihubungi mengesahkan Nik Aziz hadir tetapi menegaskan, kehadiran beliau hanya atas jemputan menghadiri majlis santapan di Istana Terengganu, Kuala Lumpur.

“Tok Guru hadir kerana diundang ke majlis santapan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Dan, turut hadir ialah Datuk Seri Najib, tiada kaitan dengan soal politik, majlis santapan sahaja,” kata beliau.

“Bagi Tok Guru, majlis itu adalah nilai sentimental,” kata beliau secara berseloroh.

Bagaimanapun beliau tidak pasti sama ada pemimpin-pemimpin lain termasuk dari PAS turut hadir. Pertemuan itu berlangsung pada 24 Disember lalu.

Dalam akhbar Siasah keluaran terbaru, Ketua Pengarangnya Sayuti Omar berkata, “apa yang saya dengar ini ialah perjumpaan ‘besar’ di antara tiga tokoh negara ini dari dua parti berlainan.”

“Pertemuan itu ialah antara Mursyidul Am PAs dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Pertemuan ini berlaku di istana negara pada malam Jumaat lalu (24 Disember). Turut sama hadir (Tan Sri) Muhyiddin Yassin,” katanya dalam laporan muka depan membawa gambar Nik Aziz dan Najib.

The Malaysian Insider difahamkan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan PAS pusat atau negeri Kelantan dalam sehari dua ini.

Akhbar itu berkata, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut diundang sama tetapi beliau dikatakan berada di London ketika itu.

“Apakah beliau (Hadi) mewakilkan Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa atau tidak, tidak dapat dipastikan,” katanya.

Akhbar itu menambah, “rasanya pertemuan itu memberi banyak input kepada semua pihak terutamanya kepada Yang di-Pertuan Agong sebaagai orang berkuasa di negara ini.

“Begitu juga pertemuan itu memberi peluang kepada Najib dan Nik Aziz serta Muhyiddin bukan saja bertanya keadaan diri masing-masing, tetapi hal-hal lain juga,” katanya. Malah akhbar itu mempersoalkan sama ada pertemuan itu boleh dianggap sebagai rasmi memandangkan ada yang menganggap Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, sebagai bukan pemegang jawatan eksekutif dalam parti itu.

“Pertemuan itu disalah tafsir tetapi saya tidak tahu apa agendanya, kemungkinan Tuan Guru akan menjelaskan butiran pertemuan itu,” kata Wan Nik.

“Saya tidak tahu sama ada pemimpin-pemimpin lain hadir sama,” kata Wan Nik lagi.

Dalam pada itu, penyokong-penyokong Nik Aziz mendakwa Menteri Besar Kelantan diperangkap supaya menghadiri pertemuan bersama pemimpin-pemimpin Umno dan mereka juga mendakwa satu lagi pertemuan telah diadakan sehari sebelum majlis makan malam itu.

Beberapa pemimpin PAS terlibat dalam ‘debat’ mengenai isu itu menerusi laman sosial Facebook dengan mendakwa Hadi dan Nasharudin cuba memulihkan usaha untuk bekerjasama dengan Umno ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan.

Malah ada yang memertahankan kedua-dua Hadi dan Nasharudin masing-masing ahli Parlimen Marang dan Bachok.

Menerusi Facebook, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Haron membayangkan beberapa pemimpin kanan PAS masih cenderung untuk membentuk kerjasama politik dengan Umno.

“OK, tak habis lagi bagi pendapat masing-masing. Habiskan dulu pandangan masing-masing baru boleh ambo (saya) buat kesimpulan. Ambo boleh bagi tahu habis sampai warna baju yang dipakai oleh orang tu... dalam perjumpaan itu. Ada yang hendak nafi lagi?” katanya.

“Aku kata dah berlawan dalam Facebook ni makin nampak Umno dan puak prokerajaan perpaduan makin nampak hujah puak penakut nak berjuang dan mahu jalan pintas hendak jadi kerajaan,” kata beliau.

Mesejnya juga berkata, “guano sampai ada orang nak menafikan fakta saya sangggup berbohong pula ni.”

“Kalau pun nak pertahan orang demo sayang jangan sampai peringkat berbohong dengan mengatakan pemimpin itu pergi London tarikh tersebut.

“Betullah tarikh tersebut dia pergi London tapi dia naik kapal terbang malam, perjumpaan tersebut siang hari tarikh yang sama,” katanya lagi.

Tulisan Fatah itu menarik respons Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad yang turut meminta pemimpin dari Kelantan itu agar membuat aduan rasmi kepada ibu pejabat.

Kata Idris, beliau berharap untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai pertemuan sulit yang disebutkan oleh Fatah agar setiap ahli dimaklumkan mengenai perkembangan isu tersebut.

“Parti (juga) boleh mengambil tindakan,” kata Idris dalam mesej Facebooknya.

“Secara rasmi, kami tiada sebarang maklumat. Kami berharap YB Fatah boleh membuat aduan rasmi kepada parti. Saya baru sahaja menghubungi Setiausaha Agung PAS (Datuk Mustafa Ali), beliau tidak tahu dan meminta YB Fatah untuk mendapatkan lebih banyak maklumat,” kata beliau.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Fatah enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan beliau.
Bagaimanapun beliau berkata akan menyediakan lebih banyak maklumat “apabila tiba masa yang sesuai” kelak.

Beliau juga enggan menamakan pihak dari PAS yang mengusahakan pertemuan sedemikian.
Isu mengadakan kerjasama politik dengan Umno juga muncul pada 2008 dan kemudian tahun berikutnya ketika PAS mengadakan pemilihan.

Ketika itu didedahkan bahawa Nasharudin dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali mengadakan pertemuan dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang pada masa tersebut merupakan perdana menteri dan bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo susulan keputusan pilihan raya umum ke-12 8 Mac 2008.

Pemimpin-pemimpin yang memihak kepimpinan Nik Aziz kemudian menuduh Nasharudin berkonspirasi untuk membawa PAS keluar dari Pakatan Rakyat (PR) tetapi beliau berjaya mempertahankan kerusi timbalan presiden dalam saingan tiga penjuru membabitkan Mohamad Sabu dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa.

Nik Aziz sejak 2008 berkeras menolak sebarang kerjasama politik dengan Umno dengan merujuk kepada insidern tahun 1970-an.

2 comments:

SearchForHeaven said...

ada perbincangan UG kaa?? hehe... atau salah maklumat ni... wakaka

Hanz Newman said...

TGHA pi London masa tu, yek? Pi jalan-jalan, Harrods ke, Mark & Spencers, Trafalgal Sq? Layan subway ker? Takkan pi debat & propa students sana mengenai UG, kan? Who gonna buy? Am having a laugh .. Ha ha ha .. Apa tak kata dia pi Australia atau Jepun ..baik tulis/nyatakan dia pi Jordan,Mesir,Iran,Arab Saudi..tentu ahli caya.

Oh ada cubaan nak 'pujuk' TGNA ke masa makan istiadat? Demi perpaduan sesama umat Islam? TGNA dulu, kini & selama batu penghalang 'perpaduang Islam' ..cehhh!

Ho ho ho